Kejar cantik jangan sampai ancam kesihatan

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung produk kecantikan seludup dari Thailand dijual mahal tanpa cukai, kelulusan KKM

PENDEDAHAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai trend pempengaruh dan usahawan kosmetik yang membeli produk kecantikan dari Thailand tanpa cukai serta tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang semakin berleluasa bukan sahaja boleh mengundang padah kepada pengguna, tetapi turut merugikan negara.

Menurutnya, aktiviti yang menyalahi undang-undang dan semakin membimbangkan itu didorong oleh perbezaan harga yang ketara di pasaran tempatan, sekali gus menyebabkan ramai pihak cuba mengambil kesempatan.

Iklan
Iklan

Malah, kata Razarudin, aktiviti ini bukan perkara baharu, malah semakin membimbangkan dengan banyak rampasan besar-besaran dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan produk kecantikan dan kesihatan yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia.

Berdasarkan rekod, pada Disember tahun lalu, PGA merampas pelbagai produk kosmetik yang dianggarkan bernilai RM92,600 dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Tumpat, Kelantan.

Iklan

Melihat kepada pendedahan terbaharu itu, banyak kesan buruk boleh berlaku jika ia tidak dibanteras habis-habisan.

Kerajaan kehilangan sumber daripada cukai, manakala orang ramai, terutamanya wanita, terdedah kepada pelbagai risiko apabila menggunakan produk kosmetik yang tidak mendapat kelulusan.

Iklan

Justeru, usaha membanteras aktiviti penyeludupan produk kosmetik dari negara jiran perlu dilakukan secara lebih tegas dan berterusan.

Di pihak pengguna pula, mereka dinasihatkan supaya tidak terpengaruh untuk membeli produk yang bahan kandungannya tidak diketahui secara jelas.

Ambil iktibar daripada pelbagai kisah atau pengalaman pengguna kosmetik yang tidak mendapat kelulusan, kerana bukan sahaja wang melayang, malah kesihatan diri turut terjejas.

Oleh itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai promosi atau penjualan barangan kosmetik tanpa kelulusan KKM yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.