PENDANG - Berkhidmat selama 40 tahun, satu bulan, 21 hari dalam badan uniform memberikan satu kepuasan buat Muhamad Puzi Wahad, 68, yang bersara sebagai Sarjan Mejar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis pada 22 Jun 2016.
Lebih mengujakan beliau, dua daripada tujuh anaknya turut mengikut jejak langkahnya menyertai pasukan Sang Saka Biru malah seorang cucunya juga melakukan perkara yang sama.
Anak kelimanya, Koperal Mohd Khairul Izaidy, 38, kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, anak bongsunya, Lans Koperal Nur Syazwani Atiqah, 28, bertugas di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh manakala cucunya, Konstabel Muhammad Azrie Mohd Azhar, 22, kini di Pusat Latihan Polis, Air Hitam, Jempol.
"Dua menantu saya juga anggota polis iaitu Koperal Rusidi Zainol Abidin, 39, bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam, Ipoh dan Koperal Asrulezal Osman, 38, yang bertugas di IPD Yan,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Rambutan, Mukim Padang Pusing, di sini.
Imam Surau Kampung Lubuk Rambutan itu berkata, beliau dan isterinya, Siti Aisyah Said, 63, tidak pernah menyuruh anak-anak ataupun cucunya itu menyertai badan uniform tersebut sebagai kerjaya namun ia berlaku kerana minat masing-masing.
Menurut Muhamad Puzi, kerjayanya sebagai polis yang tinggal di berek mungkin telah mendorong anak-anaknya itu untuk menyertai jejaknya selepas melihat kehidupan anggota badan uniform tersebut setiap hari.
Katanya, setiap anak mempunyai cita-cita malah dua daripada mereka turut menyertai badan uniform iaitu tentera laut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menyaksikan ramai ahli keluargnya berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Tambah Muhamad Puzi, walaupun kerjaya tersebut mempunyai risiko tersendiri, namun demi tanggungjawab yang dipikul, mereka perlu berkhidmat demi keamanan negara.
Menurutnya, slogan Sedia Berkhidmat selama empat dekad dalam perkhidmatan polis menyaksikan beliau mahu terus memberikan perkhidmatan kepada masyarakat melalui aktiviti sukarela seperti keagamaan.