SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan syarikat baharu dalam sektor pemeriksaan kenderaan bagi memastikan keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, bagaimanapun perkara tersebut belum dibincangkan lagi memandangkan ia masih baharu dan tidak mengetahui secara terperinci mengenai syarikat berkenaan.
Menurutnya, mungkin suatu hari nanti akan ada kolaborasi bersama dengan syarikat berkenaan sepertimana yang dilakukan oleh Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Saya rasa ia perkara baik. Jadi untuk berkongsi dengan mereka kami tiada masalah, lagipun piawaian yang dikenakan kepada mereka sama dengan Puspakom.
"Kita pun ada kongsi idea dengan JPJ, semua itu untuk pastikan ada kesimbangan dalam sektor ini. Namun buat masa ini belum lagi sebab kita pun tidak tahu secara spesifik syarikat itu.
"Dalam masa sama, kami mengalu-alukan persaingan kerana ia akan mendorong setiap syarikat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” jelasnya pada Majlis Iftar Puspakom di sini, hari ini.
Puspakom menganjurkan Majlis Iftar Ramadan bagi menghimpunkan rakan media, kepimpinan syarikat serta warga emas dari Rumah Seri Kenangan, Cheras.
Beliau menegaskan bahawa syarikat tidak melihat persaingan sebagai satu halangan sebaliknya peluang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Jelasnya, Puspakom telah mendapat kepercayaan lebih 1.4 juta pelanggan tetap.
"Kami memahami cabaran dalam industri ini dan sentiasa berusaha memperbaikinya. Puspakom telah lama melaksanakan tugas dengan baik dan mematuhi semua standard yang ditetapkan.
"Dalam usaha meningkatkan produktiviti, Puspakom juga telah memperkenalkan langkah mempercepatkan pemeriksaan dengan pengecualian lima item tidak kritikal dalam pemeriksaan kenderaan perdagangan.
"Ia membolehkan penjimatan masa antara lima hingga 10 minit setiap pemeriksaan. Sebagai contoh, di cawangan Wangsa Maju, sekitar 800 pemeriksaan dilakukan setiap hari, dengan penjimatan masa 10 minit setiap pemeriksaan, produktiviti kami dapat ditingkatkan dengan lebih ketara,” katanya.