GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri ditahan bersama dadah jenis syabu dan pil eramin 5 bernilai RM160,884 di sebuah rumah di Permatang Pauh dalam operasi pada Sabtu lalu.
Operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu bermula pada jam 9 malam, 22 Mac sehingga jam 4 pagi, 23 Mac.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-dua suami isteri yang tiada pekerjaan yang juga warga tempatan itu berusia 35 dan 40 tahun.
Menurutnya, kedua-dua suspek aktif dalam kegiatan pengedaran dadah tersebut sejak awal tahun ini.
"Selain itu, kita juga merampas 10 keping aluminium foil yang setiap satu mengandungi 10 biji pil eramin 5 bernilai RM2,500," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Isnin.
Menurut beliau, selain rampasan dadah, polis turut menyita dua buah kereta, tiga buah motosikal, seutas jam tangan dan wang tunai bernilai RM1,600.
"Jumlah rampasan dadah serta sitaan bernilai RM377,984. Dadah berkenaan boleh digunakan oleh 250,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
"Hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif selain mereka juga tiada rekod jenayah lampau," katanya.
Tambah beliau, pasangan itu direman tujuh hari sehingga 29 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.