Isu kuil: Rujuk badan tertinggi agama, elak ketegangan

Iklan
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

SHAH ALAM - Setiap kelompok perlu merujuk atau mengikut badan tertinggi agama masing-masing sebelum melakukan sebarang tindakan agar tidak membuka ruang kepada ketegangan dalam masyarakat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi umat Islam merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam urusan masjid dan surau manakala penganut Hindu pula ada Hindu Sangam sebagai rujukan utama dalam urusan berkaitan kuil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini bukan sekadar sistem pentadbiran tetapi asas bagi menjamin kestabilan dan saling menghormati antara agama.

"Perlu diingat, dalam sejarah negara ini, banyak masjid dan surau juga pernah dipindahkan atas pelbagai faktor seperti perancangan bandar dan melangkaui tanah sudah ada pemiliknya yang sah.

Iklan

"Umat Islam menerima keputusan itu dengan hati terbuka lantas berlumba-lumba menyumbang dan berwakaf untuk pembelian tanah baharu kerana memahami keperluan dan keadilan yang lebih besar.

"Maka prinsip yang sama harus diterapkan dalam semua keadaan. Tidak boleh ada dua piawaian dalam menangani isu rumah ibadat," ujarnya menerusi laman Facebook pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India untuk pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti di kawasan itu.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki turut menjelaskan bahawa rancangan pemindahan kuil Hindu itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid berkenaan.

Bagaimanapun, penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mencadangkan ‘tapak alternatif’ untuk pembinaan masjid tersebut.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek mencadangkan agar masjid dibina di dua plot tanah berdekatan berbanding meroboh dan memindahkan kuil berusia 130 tahun itu.

Zulkifli turut memberi peringatan tegas kepada segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan.

"Agama bukan pelaris untuk dijadikan medium melampias amarah dan kejadongan (jahat, bodoh dan sombong).

"Perpaduan kita juga bukan alat untuk dipolitikkan," katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mahu menjaga keharmonian dan siapa yang hanya mahu meraih keuntungan politik dengan mencetuskan perbalahan.

"Saudara-saudaraku, baik Muslim mahupun Hindu, kita telah hidup bersama di bumi ini sejak sekian lama. Jangan biarkan isu yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran sah dijadikan bahan untuk memecahbelahkan kita.

"Keharmonian bukan sekadar slogan, tetapi amanah yang perlu kita jaga dengan kejujuran dan keadilan.

"Marilah kita kembali kepada akhlak yang diajarkan agama masing-masing iaitu berbicara dengan fakta, bertindak dengan hikmah, dan menghormati hak masing-masing," ujarnya.