PPAT sasar 200,000 peserta World #QuranHour 2025 seluruh Terengganu

Iklan
Norliza

KUALA TERENGGANU - Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menyasarkan seramai 200,000 individu dari seluruh negeri untuk menyertai World #QuranHour 2025 pada 25 Mac ini.

Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata, pihaknya optimis bahawa sasaran itu dapat dicapai berikutan ia berjaya menarik seramai 153,988 peserta menyertai program tersebut pada tahun lalu sekali gus menjadikan Terengganu dengan penyertaan ketiga tertinggi di negara ini.

Iklan
Iklan

"Jadi kita harap penyertaan lebih ramai peserta pada tahun ini. Kita jangka penyertaan terus meningkat dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan dan sekolah.

"Usaha itu dapat memperluaskan lagi impak program dalam mengimarahkan al-Quran di semua lapisan masyarakat terutama mencari keberkatan pada bulan Ramadan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Norliza berkata, seluruh Perpustakaan Awam di negeri ini turut serta dalam program tersebut melibatkan rangkaian perpustakaan di daerah, pekan serta sebanyak 39 buah perpustakaan desa.

Selain itu katanya, pelbagai agensi kerajaan dan sekolah turut mengambil bahagian sekali gus menjadikan inisiatif tersebut sebagai salah satu usaha bersama dalam mengimarahkan budaya membaca dan menghayati di seluruh negeri.

Iklan

"Kita harap program ini bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada peserta-peserta di perpustakaan malah semua individu tidak kira berada di rumah atau mana-mana tempat sekali pun dapat menyertai program itu dan mampu memupuk amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian," jelas beliau.

World #QuranHour kali ini turut akan berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.

Program World #QuranHour bakal menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada surah As-Saff yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan QuranHour.