PAPAR - Dua pemandu lori maut dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang menukar tayar dalam kejadian di bahu Jalan Pan Borneo, di Kilometer 9, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati seorang pemandu lori berhenti di bahu jalan dan turun dari lorinya selepas mendapati tayar kenderaannya mengalami masalah.
"Ketika mangsa ingin menukar tayar, seorang rakannya yang juga pemandu lori lain singgah di lokasi dan bertindak membantunya.
"Bagaimanapun, tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kimanis telah hilang kawalan.
"Pemandu tersebut telah melanggar kedua-dua mangsa yang sedang menukar tayar di bahagian hadapan kanan lori," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
"Sementara itu, pemandu dan penumpang Proton Saga pula hanya mengalami kecederaan ringan serta telah dibawa ke Hospital Papar untuk menerima rawatan," katanya.