KUANTAN – Seorang pemandu dan kelindan cedera selepas lori tangki air Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terbabas lalu merempuh dua buah rumah serta sebuah kereta di Taman Kenanga, Raub pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seorang penghuni rumah yang berada di lokasi ketika kejadian selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.41 tengah hari.
"Susulan maklumat diterima, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub telah dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Ketika tiba di lokasi, didapati kemalangan benar-benar berlaku, manakala dua mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya.
Zulfadli berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang wanita cedera, manakala tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan selamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 102 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur di Temerloh.
Beliau berkata, dalam kemalangan yang dilaporkan pada jam 11.22 pagi, mangsa yang cedera tersepit di dalam kenderaan, manakala mangsa lain berjaya keluar sendiri dari MPV jenis Proton Exora itu.
"Tujuh anggota dari BBP Mentakab yang tiba di lokasi segera membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Mangsa menerima rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.