BAGAN DATUK - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan penjualan rokok seludup bernilai RM47,389.26 dalam serbuan Op Kontraban di sebuah pasar mini di Hutan Melintang, di sini pada Jumaat.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan dan pihaknya merampas 23,421 batang rokok pelbagai jenama tanpa cukai.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun, yang mengaku sebagai penjaga premis, turut ditahan untuk siasatan.
"Pemeriksaan berjaya menemui 1,284 kotak rokok putih bernilai RM32,790.78 dan 456 kotak rokok kretek bernilai RM14,598.48 pelbagai jenama disyaki rokok tidak sah dalam premis terbabit.
"Semua barang rampasan, bersama suspek, dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Shahrum berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan akan dipertingkatkan, bersama tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan.
"Kegiatan menyalahi undang-undang itu berada dalam radar pemerhatian kita terutamanya di kawasan utara meliputi negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang
"Sindiket ini bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, tetapi juga mengancam keselamatan," katanya.