TEHERAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan ancaman Amerika Syarikat (AS) terhadap negaranya"tidak akan ke mana-mana", sehari selepas Presiden Donald Trump memberi amaran kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Teheran.
"Amerika perlu tahu ancaman mereka tidak akan berjaya apabila berdepan Iran," katanya dalam ucapan tahunan sempena Nowruz, Tahun Baru Parsi yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Beliau memberi amaran bahawa jika ada pihak melakukan sesuatu yang"jahat" terhadap Iran, mereka akan menerima natijah yang serius.
Pada 7 Mac lalu, Trump menghantar surat kepada Khamenei menggesa rundingan mengenai program nuklear Iran dan memberi amaran mengenai tindakan ketenteraan jika Teheran enggan berunding.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Khamis menyifatkan surat itu sebagai"lebih kepada ancaman", tetapi mengakui terdapat tawaran tertentu yang sedang dipertimbangkan Teheran.
Laporan media AS mendakwa Trump menetapkan tempoh dua bulan untuk mencapai perjanjian baharu, namun tarikh mula dan akhir itu tidak dinyatakan.
Khamenei sebelum ini menolak sebarang usaha rundingan dengan AS, menuduh Washington cuba memperdaya dunia dengan menunjukkan kononnya Iran enggan berunding.
Trump, yang memulakan penggal kedua pada Januari, meneruskan dasar"tekanan maksimum" ke atas Teheran selepas menarik AS keluar dari perjanjian nuklear 2015 pada 2018 dan mengenakan sekatan ekonomi besar-besaran terhadap Iran.
Sebagai tindak balas, Iran meningkatkan tahap pengayaan uranium sehingga 60 peratus, jauh melebihi had 3.67 peratus dalam perjanjian asal dan semakin hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan untuk senjata nuklear.
Teheran menuduh Trump bersikap kontradiktori dan bertegas tidak akan berunding secara langsung di bawah tekanan, ancaman atau sekatan yang semakin meningkat. - AFP