Penyamun bertopeng acu pisau, larikan barang bernilai RM12,000

Iklan
Sebuah keluarga di Felda Chini Timur berdepan detik cemas apabila empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau memecah masuk rumah mereka dalam kejadian samun pada Khamis. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Mohd Zaidi

PEKAN – Sebuah keluarga di Felda Chini Timur berdepan detik cemas apabila empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau memecah masuk rumah mereka dalam kejadian samun pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.50 malam ketika seorang suri rumah berusia 26 tahun sedang tidur bersama dua anaknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa tersedar selepas terdengar bunyi barang jatuh dan mendapati empat individu berpakaian serba hitam berada di ruang tamu.

"Mangsa terkejut dan menjerit sebelum seorang suspek bertindak ganas dengan mengacukan pisau ke leher anaknya yang berusia empat tahun.

Iklan

"Mangsa kemudian dipaksa diam sebelum seorang suspek menarik serta memeluknya manakala dua lagi menggeledah rumah sebelum melarikan dua telefon bimbit jenis iPhone XR dan Vivo V25 Pro yang berada di ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan laporan seorang lagi suspek turut masuk ke bilik ibu mertua mangsa dan memaksanya ke ruang tamu sebelum merampas seutas rantai leher serta gelang tangan miliknya.

Iklan

Ujarnya, selepas mengarahkan semua mangsa berkumpul di bilik hadapan, kesemua suspek melarikan diri melalui pintu dapur.

"Tiada kecederaan dilaporkan, namun mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM12,000,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di talian 09-4221222.