Bubar Parlimen atas permintaan PM tiada dalam Perlembagaan

Iklan
Shamrahayu ketika Sinar Live, Analisis Peralihan Kerajaan di Kompleks Karangkraf hari ini.

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa bagi membubarkan Parlimen berdasarkan kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sekiranya ada permintaan bagi membubarkan Parlimen, maka ia masih di bawah budi bicara Seri Paduka sama ada mahu menerima atau tidak.

Iklan
Iklan

"Terdapat pelbagai pandangan dalam perkara ini seperti Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil tindakan atas nasihat Perdana Menteri. Kalau kita ambil pendekatan ini, maka tidak terbubar Parlimen sehingga ada Perdana Menteri.

"Akan tetapi jika ada Perdana Menteri sekalipun, apabila nak bubar Parlimen hak tersebut masih terletak kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika Sinar Live, Analisis Peralihan Kerajaan di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Parlimen akan terbubar melalui dua cara iaitu selepas lima tahun daripada tarikh mula bersidang dan permintaan daripada Perdana Menteri dan diperkenan Seri Paduka.

"Perdana Menteri hanya boleh meminta. Maka kita kembali kepada Perkara 40(2)(b) itu tadi iaitu berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

"Pandangan bahawa Seri Paduka bertindak atas nasihat Perdana Menteri tidak ada dalam hal berkaitan pembubaran Parlimen.

"Tidak ada istilah nasihat tetapi Perdana Menteri membuat permintaan. Selain itu istilah permintaan daripada Perdana Menteri ini juga sebenarnya hanya amalan dan tidak ada dalam Perlembagaan," katanya.

Katanya, pelantikan Perdana Menteri tertakluk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa kepercayaan Ahli Dewan Rakyat itu ditetapkan pada hemat Seri Paduka.

"Kalau dikatakan begitu, keputusan untuk memilih Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebenarnya saya tidak jumpa di bawah mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Shamrahayu berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Seri Paduka bagi menentukan siapakah yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Sekiranya Seri Paduka memutuskan siapakah mempunyai kepercayaan dan mengangkat seseorang individu itu menjadi Perdana Menteri maka Ahli Parlimen itu perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana menteri.

"Namun begitu, sebagai negara demokrasi, Dewan Rakyat menjadi platform bagi ahli Dewan Rakyat sama ada menyokong atau tidak Perdana Menteri tersebut. Parlimen membuka ruang untuk ahli Dewan rakyat mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri itu," katanya.