Doktor didakwa rogol pembantu klinik

Iklan
Dr Mohd Rafi'uddin dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap pembantu klinik itu dalam stor, dua minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap pembantu kliniknya di dalam stor, dua minggu lalu.

Dr Mohd Rafi’uddin Hamidon, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 21 tahun di dalam bilik stor sebuah klinik di Pantai Dalam, antara jam 4 hingga 5 pagi, 15 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama, di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, tidak mencadangkan agar tertuduh diberi ikat jamin kerana kes ini termasuk dalam kategori yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah memberikan ikat jamin kerana tertuduh perlu menanggung keluarga.

"Pihak pembelaan tidak membantah sekiranya mahkamah meletakkan apa-apa syarat tambahan,” katanya.

Hakim: Adakah tertuduh masih berkhidmat di klinik itu?

Dr Mohd Rafi’uddin: Tidak, saya tidak lagi berkhidmat di klinik tersebut.

Selepas mendengar perkara itu, Hakim Mohd Zaki membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, dan melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 April ini.