KLUANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kebenaran kepada murid serta pelajar yang kediaman mereka dilanda banjir untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan kehadiran murid serta pelajar di sekolah sekali gus tidak membebankan ibu bapa.
"Sewaktu di pusat pemindahan sementara (PPS), ada anak-anak yang tidak mengenakan pakaian seragam kerana mereka tidak sempat membawanya ke PPS.
"Selain itu, hujan berterusan juga boleh menyebabkan pakaian seragam sekolah basah dan tidak dapat disediakan. Maka, kelonggaran diberikan untuk ke sekolah tanpa mengenakan pakaian seragam, tetapi perlu sopan dan bersesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana, Simpang Renggam, pada Jumaat.
Turut hadir, Exco Penerangan dan Pendidikan Negeri, Aznan Tamin serta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Dalam pada itu, Fadhlina menambah, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk memantau keadaan guru yang mengajar dan tinggal di kawasan dilanda banjir.
"KPM telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan guru terjamin," katanya.
Sebelum itu, seramai 39 mangsa terdiri daripada guru dan murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tampoi Utama terpaksa dipindahkan ke PPS pada awal pagi Jumaat selepas terkandas lebih 10 jam akibat banjir.
Difahamkan, semua mangsa termasuk seorang guru wanita yang mengandung tidak dapat keluar dari kawasan sekolah selepas sesi persekolahan tamat pada jam 12.30 tengah hari kerana kawasan sekolah dinaiki air.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah bot digunakan dalam operasi menyelamat yang berakhir pada jam 3.17 pagi.