KUALA TERENGGANU - Kuala Terengganu muncul sebagai destinasi paling murah di Malaysia untuk percutian pada bulan April dan Mei tahun ini dengan kadar bilik purata RM213 semalam.
Pertama kali tersenarai dalam kedudukan ini, bandar tepi pantai itu berjaya memintas Kuching, yang sebelum ini memegang gelaran tersebut bagi April hingga Mei 2024 dan musim cuti pada hujung tahun.
Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata, April dan Mei merupakan musim puncak bagi pelancongan di Asia, dengan cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, Minggu Emas di Jepun dan Songkran di Thailand meningkatkan permintaan.
"Namun pelancong tidak perlu bimbang kerana Agoda menawarkan pelbagai pilihan penginapan, penerbangan dan aktiviti dengan nilai yang hebat.
"Senarai destinasi berpatutan ini membuktikan bahawa percutian mesra bajet masih boleh dinikmati, walaupun pada musim yang paling sibuk," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, senarai destinasi musim bunga paling murah tersebut disusun berdasarkan purata harga bilik di 20 destinasi popular di sembilan pasaran Asia bagi membantu pelancong memilih destinasi yang sesuai dengan bajet mereka.
Phong Nha di Vietnam yang merupakan 'syurga' bagi pencinta alam semula jadi muncul sebagai juara dengan purata harga bilik serendah RM124 satu malam.
Ia diikuti Tirupati di India dan Hat Yai di Thailand yang turut tersenarai di tiga kedudukan teratas, dengan purata harga bilik masing-masing RM150 dan RM177 satu malam.
Selain Kuala Terengganu, destinasi lain di Asia yang turut tersenarai ialah Padang di Indonesia (RM177); Bacolod di Filipina (RM204); Gimpo di Korea Selatan (RM293); Narita di Jepun (RM315) dan Pingtung di Taiwan (RM351).