KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesyorkan kepada jabatan agama Islam negeri seluruh negara untuk bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menubuhkan Rumah Perantaraan sebagai langkah pemulihan bekas penagih dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat ini hanya ada satu sahaja Rumah Perantaraan di Kampung Baru, Kuala Lumpur hasil kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan AADK.
Katanya, pembukaan Rumah Perantaraan seperti mana di Kampung Baru adalah inisiatif yang baik bagi membantu bekas penagih dadah untuk terus pulih.
"Pembukaan Rumah Perantaraan yang mempunyai pelbagai program pemulihan termasuk berunsur keagamaan ini sejak tahun lalu adalah antara pendekatan yang baik dibuat oleh AADK dengan kerjasama MAIWP.
"Ia menunjukkan betapa serius KDN dalam memastikan pasukan kami benar-benar membantu mereka yang selesai menjalani proses pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk terus pulih.
"Disebabkan itu, kami menggalakkan majlis agama Islam di negeri lain bagi mengambil contoh dibuat MAIWP yang bekerjasama dengan AADK dalam penubuhan Rumah Perantaraan ini sebagai model terbaik untuk dimanfaatkan membantu pemulihan klien," katanya dalam Program Singgah Sahur AADK di Rumah Perantaraan Kampung Baru di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Pada majlis itu, Shamsul Anuar beramah mesra dengan kakitangan AADK selain menyerahkan sumbangan kepada 59 klien.
Menurut Shamsul Anuar, menerusi kerjasama dengan MAIWP, banyak program dianjurkan membabitkan unsur keagamaan supaya klien mendekatkan diri kepada agama.
"Melihat kepada keberkesanan program yang dianjurkan di sini, kami sendiri menguar-uarkan kepada klien yang selesai menjalani pemulihan di Puspen untuk datang ke sini," katanya.
Beliau berkata, terdapat hampir 400 klien yang mengikuti program di pusat transit itu selain 59 klien yang menjalani program berkenaan secara tetap.
"Dalam usaha menyelesaikan isu dadah, ia tidak hanya boleh meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.
"Tetapi ia juga memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Noraini berkata, mana-mana gelandangan diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terbabit dengan dadah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
"Di pihak JKM, tugas kami menyelamatkan gelandangan. Apabila ia membabitkan penyalahgunaan dadah, kami akan rujuk kepada AADK yang mempunyai kepakaran dalam hal itu.
"Perkara ini adalah salah satu bentuk kerjasama pihak kami dengan AADK dalam membantu gelandangan yang diselamatkan," katanya.