KUALA LUMPUR – Datuk Rohaimi Md Isa memangku tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berkuat kuasa Khamis.
Rohaimi, yang juga Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, mengambil alih jawatan tersebut susulan persaraan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf selepas hampir 38 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis serah terima tugas berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Khamis dan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ia dimulakan dengan upacara menandatangani serta pertukaran dokumen serah terima tugas antara Ramli dan Rohaimi.
Dalam ucapannya, Razarudin menyifatkan majlis itu sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan seorang perwira yang bersara daripada PDRM.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Ramli, JSJK telah memperkukuh usaha membanteras jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian, menerusi operasi dan serbuan yang kerap.
"Ini terbukti dengan peningkatan jumlah operasi pada tahun lalu, iaitu 24,388 operasi, meningkat sebanyak 6,167 berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah tangkapan kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan ketara, dengan 25,829 tangkapan direkodkan tahun lalu berbanding 22,911 pada 2023 dan 20,804 pada 2022.
"Turut membanggakan, kepakaran Ramli dalam jenayah komersial sering menjadi rujukan agensi antarabangsa dan beliau juga dijemput untuk memberikan ceramah di luar negara," tambahnya.
Sementara itu, Ramli dalam ucapannya berharap pegawai dan anggota JSJK terus menimba ilmu serta meningkatkan kemahiran bagi menangani cabaran jenayah komersial yang semakin kompleks.
"Saya berharap warga JSJK terus berusaha meningkatkan keupayaan serta mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain menghargai sokongan semua pegawai dan anggota dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Ramli memulakan karier dalam pasukan polis pada 5 April 1987 sebagai pelatih inspektor sebelum menjadi pegawai penyiasat Jenayah Perdagangan di Cawangan D5, Jabatan Siasatan Jenayah.
Beliau memiliki pengalaman luas dengan sejarah penugasan di pelbagai jabatan dan pernah dilantik ke beberapa jawatan penting dalam misi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk di Sierra Leone, Afrika Barat dan United Nations Police Headquarters, New York, Amerika Syarikat dari 2001 hingga 2008.
Bersandarkan ketokohan dan kredibilitinya, Ramli diberi kepercayaan untuk menerajui Polis Kontinjen Pahang sebagai Ketua Polis Negeri sebelum dilantik sebagai Pengarah JSJK pada 10 Mei 2023.