'Urusan hari ini berjalan lancar, jumpa lagi esok' - Syed Saddiq

Iklan
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Rayuan hari ini berhubung rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan semua hujah dan fakta penting berhubung sabitan kes ke atas dirinya telah dikemukakan ke muka pengadilan.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, prosiding rayuan yang berlangsung Rabu telah diketuai peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Iklan
Iklan

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, semua urusan hari ini berjalan lancar, selain hujah dan fakta telah dibentangkan dengan baik oleh pasukan peguamnya.

"Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara.

Iklan

"Sebagai salah seorang penggubal dasar, saya menghormati sistem perundangan sebagai benteng terakhir keadilan, khususnya bagi mereka yang berasa tertindas atau haknya telah dirampas.

"Di bawah bumbung yang terhormat ini, saya tuntut keadilan dan keadilan. Jumpa lagi esok (Khamis)," katanya ketika sidang akhbar bersama pasukan peguamnya, selepas sesi rayuan berakhir jam 2.50 petang.

Iklan

Perbicaraan akan bersambung Khamis dengan pembentangan daripada pihak pendakwaan, diikuti dengan sesi jawapan balas.