Kes tipu pelaburan kripto, 46 kertas siasatan dibuka

Iklan
Ramli (dua kiri) pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 46 kertas siasatan berkait skim penipuan pelaburan saham membabitkan kerugian mencecah RM41.5 juta di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif mempromosikan skim pelaburan mata wang kripto serta saham melalui TikTok dan Facebook.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApps atau Telegram untuk diberikan penjelasan lebih lanjut tentang pelaburan saham yang ditawarkan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Rabu.

Ramli berkata, seramai 46 mangsa tampil membuat aduan kepada polis, golongan pesara adalah mangsa yang paling ramai setakat ini dengan 15 orang.

Iklan

"Turut menjadi mangsa adalah 12 ahli perniagaan, guru (tiga), jurutera (dua) dan masing-masing seorang pegawai bank, akauntan, doktor, suri rumah dan 10 pekerja swasta pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata, antara mangsa terbaharu yang disiasat berkait sindiket itu adalah tiga pesara termasuk dua wanita, berusia antara 57 hingga 71 tahun yang mengalami jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM9.38 juta.

Iklan

"Salah seorang mangsa, iaitu lelaki berusia 71 tahun memaklumkan melihat iklan berkaitan pelaburan kripto melalui Facebook. Pengadu tertarik dengan iklan tersebut dan menghubungi nombor WhatsApp yang dipaparkan.

"Seterusnya, pengadu dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diterangkan berkenaan pelaburan saham dan pelaburan mata wang kripto," katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian mendaftar akaun di platform tersebut dan membuat 42 kali transaksi pindahan wang ke 8 akaun bank atas nama syarikat yang berbeza dengan keseluruhan pindahan wang RM5 juta.

"Pada awal Mac lalu, pengadu dimaklumkan kononnya platform berkenaan mempunyai masalah dan pelabur dikehendaki mengeluarkan wang dari akaun atau berdepan risiko ia akan dibekukan," katanya.

Ramli berkata, pada ketika itu, pengadu dapati pelaburannya telah menjana keuntungan sehingga ASD205,463,456 (RM1 bilion).

"Namun apabila hendak mengeluarkan wang keuntungan, pengadu diarahkan untuk membuat bayaran yuran proses ASD230,000 (RM1.01 juta). Pengadu mula rasa curiga dan membuat laporan polis,” katanya.

Ramli berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sejumlah 39 akaun bank dikesan digunakan oleh skim pelaburan itu untuk menerima wang dari mangsa.

"Sebanyak 37 akaun bank didaftarkan atas nama syarikat dan dua akaun bank adalah atas nama perniagaan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.