SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan kilang dan tiga rumah inap desa di daerah ini sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai hampir RM40 juta, Khamis lalu.
Ketua Polis, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ia selepas penahanan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun di kawasan kilang di industri ringan Jalan Tun Dr Ismail, di sini, kira-kira jam 6.30 petang.
"Lelaki itu ditahan di lokasi serbuan pertama iaitu sebuah kilang dan dipercayai berperanan sebagai penjaga dan ahli sindiket.
"Dalam serbuan dilakukan telah menemui pil ketamin seberat 335.65 gram, 2,058 gram serbuk disyaki heroin base, 63 pelbagai mesin pemprosesan dadah dan 14 balang kaca," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen di sini pada Selasa.
Beliau berkata, lokasi serbuan kedua di sebuah rumah inap desa di Taman Sri Rahang yang berjaya merampas dadah disyaki syabu seberat 12,044 gram, 80,201 gram serbuk ekstasi dan pil ekstasi seberat 125,258 gram.
"Kami turut menemui dadah disyaki eramin 5 anggaran berat 39,242 gram dan 15,000 gram dadah dipercayai ganja yang mana nilai rampasan dianggarkan RM38.7 juta," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata, serbuan di lokasi ketiga dan keempat masing-masing yang juga di rumah inap desa di Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya berjaya merampas pelbagai peralatan antaranya mesin pencetak pil, serbuk putih dan pewarna bahan kimia.
Mengulas lanjut katanya, jumlah keseluruhan rampasan adalah 274.14 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM38.9 juta dan dipercayai boleh disalahgunakan seramai 442,548 penagih.
"Modus operandi sindiket adalah menjadikan kilang sebagai tempat memproses manakala rumah inap desa sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan selatan.
"Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana serbuan kali ini berjaya menyita sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM253,413 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM39 juta," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata, suspek telah direman tujuh hari sehingga 20 Mac bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.