Keakraban Trump-Musk hanya wayang?

Iklan
Hubungan Trump dan penasihat khas beliau, Musk mencetuskan persoalan panas sama ada ia benar-benar terjalin dengan ikhlas atau wayang semata-mata.

HUBUNGAN akrab Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan penasihat khas beliau, Elon Musk mencetuskan persoalan panas sama ada ia benar-benar terjalin dengan ikhlas atau wayang semata-mata demi kepentingan peribadi masing-masing.

Sampai bila persahabatan kedua-dua bilionair itu mampu bertahan memandangkan Trump seorang tokoh yang tidak gemar berkongsi tumpuan ramai, sementara Musk sentiasa suka mencipta kontroversi untuk mencuri perhatian umum.

Iklan
Iklan

Ketika wawancara bersama Fox News Channel bulan lalu, kedua-duanya mengakui saling menyukai antara satu sama lain dan akan meneruskan agenda mereka di bawah pentadbiran Trump 2.0.

Pelantikan Musk untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) sedikit sebanyak telah memberi ‘kuasa lebih besar’ kepadanya.

Iklan

Beliau bertanggungjawab merealisasikan dasar pemotongan bajet besar-besaran dirancang Trump yang memberi impak besar kepada banyak agensi persekutuan termasuk langkah pemecatan ribuan staf dan penutupan badan yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada kerajaan.

Realitinya, mereka bukanlah ‘sekutu’ sejak dari awal kerana pemilik platform X itu merupakan pengkritik lantang Trump ketika penggal pentadbiran pertama beliau pada 2016.

Iklan

Musk pada mulanya menyokong Gabenor Florida, Ron DeSantis untuk merebut jawatan di Rumah Putih. Tetapi, pendiriannya berubah setelah insiden pertama cubaan bunuh calon Parti Republikan itu pada Julai 2024 yang mendapat liputan meluas.

Musk tampil buat kali pertama pada acara perhimpunan Trump pada awal Oktober 2024 dan membelanjakan kira-kira AS$200 juta (RM886 juta) untuk kempen beliau. Sejak itu, kedua-duanya semakin rapat dan sentiasa mempertahankan antara satu sama lain.

Minggu lalu, Trump memandu kereta sedan Tesla baharu sebagai tanda sokongan kepada syarikat milik sahabatnya itu setelah Musk kini berdepan kritikan banyak pihak kerana menjadi ‘kambing hitam’ untuk melaksanakan agenda politik beliau.

Trump berulang kali memuji Musk yang disifatkan seorang yang komited dengan kerja selain mempunyai IQ yang sangat tinggi.

Penggal pentadbiran Trump hanya akan berakhir pada 2029, adakah hubungan rapatnya dengan Musk mampu kekal atau perselisihan pendapat bakal menggugat persahabatan mereka.

Hanya masa atau ‘keuntungan besar’ yang akan menentukan.