PUTRAJAYA - Insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan pada bulan Ramadan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.
"Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi serta menjaga hubungan sesama manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menekankan kepentingan konsep tabayyun, iaitu menyelidik sebelum bertindak, bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat terus terpelihara.
"Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam agar mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.
"Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia dan penuh dengan nilai kasih sayang, selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam," jelasnya.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Elijah mendakwa menerusi aplikasi X bahawa dia ditampar berkali-kali oleh seorang lelaki selepas ditanya sama ada dirinya seorang Islam.
Menurutnya, dia mengunjungi sebuah kedai makan di pusat beli-belah di Johor Bahru untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.
"Selepas bertanya sama ada saya Islam atau bukan dan marah kerana saya makan pada waktu puasa, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya, saya tetap ditampar berkali-kali," katanya.
Menerusi hantaran sama, Elijah turut memuat naik rakaman video insiden berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan wargamaya.