KUALA LUMPUR - Kertas siasatan terhadap Arun Dorasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah merakam keterangan individu terbabit bagi membantu siasatan.
"Polis telah merekod percakapan beliau (Arun) dan kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat AGC esok (Isnin) untuk arahan selanjutnya," katanya pada Ahad.
Pada 13 Mac, media melaporkan kenyataan Razarudin berhubung kes itu di Batu Kawan, Pulau Pinang berkaitan video di aplikasi WhatsApp menunjukkan kenyataan Arun yang didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu agama, kaum serta institusi diraja (3R).
Video terbabit turut menyentuh pihak keselamatan dan Perdana Menteri Malaysia
Kes telah disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada video berdurasi sembilan minit di laman Instagram, Arun didakwa mengatakan Zamri Vinoth adalah Hindu murtad, selain menyoal adakah polis menunggu rusuhan perkauman.
Kenyataan itu dipercayai ekoran tindakan pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu dan Arun berpendapat pihak berkuasa lambat mengambil tindakan terhadap Zamri.