KUALA NERUS - Program World #QuranHour 2025 yang akan diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah, dekat sini pada 25 Mac depan dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 peserta.
Pengerusi Masjid Al-Wathiqu Billah, Mohd Sofiyuddin Yussof berkata, penyertaan bagi program ini terbuka kepada semua pihak dan mereka yang berminat boleh hadir secara langsung ke masjid berkenaan.
"Kita menggalakkan umat Islam mengambil kesempatan untuk datang ke program ini bagi mendekatkan diri kepada al-Quran selain meraih pahala berganda semasa bulan Ramadan.
"Tahun ini kita lakukan sedikit kelainan iaitu memberi tazkirah awal kepada peserta dan disusuli dengan sesi pembacaan serta tadabbur al-Quran.
"World #QuranHour 2025 kali ini akan memberi penekanan kepada tadabbur Surah As-Saf yang mengandungi mesej penting mengenai kepentingan kesatuan dalam membina umat yang kuat dan berdaya saing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Sofiyuddin berkata, usaha ini dapat menarik minat umat Islam terutama golongan muda untuk membaca al-Quran serta menghayati kitab suci itu lebih mendalam.
"Kita harap penyertaan ini melibatkan semua lapisan umur dan anak muda digalakkan untuk hadir bagi menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian dalam kehidupan," jelasnya.
World #QuranHour kali ini bakal berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Organisasi media yang turut hadir bagi menjayakan penganjuran World #QuranHour bertemakan #SavingTheUmmah tersebut ialah Sinar Harian, Sinar Daily, Nu Ideaktiv, Bernama, Astro Awani, TV Alhijrah, TV3, RTM, TV9, Media Prima, Utusan TV, Utusan Malaysia, Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV IKIM, IKIM FM, ZAYAN dan Denaihati.com.
UIAM, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Karya Bestari, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Akademi Sinergi Ikhlas, Rasuah Busters, Sahabah al-Quran, Rumah Ngaji, My#HadithTime dan Soul Fitness turut serta selaku rakan strategik.