KUALA KRAI – Seorang wanita warga emas maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu – Gua Musang, berhampiran Bukit Ah Kim, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, mangsa yang berusia 72 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, dua lagi mangsa yang cedera iaitu pemandu, lelaki berusia 21 tahun dan penumpang hadapan wanita, 52, telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk rawatan lanjut.
"Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku ketika kereta tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pasir Mas.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mayat mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujarnya, semua pengguna jalan raya diingatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu, terutama di bulan Ramadan.
"Selain faktor trafik yang semakin sibuk dengan pertambahan kenderaan, keletihan dan rasa mengantuk turut menjadi punca kemalangan yang tidak diingini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi talian 09-9666222," katanya.