Polis tumpaskan penjualan mercun haram di Skudai

Iklan
Antara mercun yang dirampas dalam serbuan berkenaan. - Foto IPD Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI - Polis menumpaskan aktiviti penjualan mercun secara haram hasil satu serbuan di sebuah premis di Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, serbuan pada jam 4.15 petang itu dijalankan oleh Pasukan Risikan, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, Selangor.

Iklan
Iklan

"Hasil operasi, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambah Kumarasan, dalam serbuan itu, polis turut merampas 134 kotak bunga api dan mercun pelbagai jenis dengan anggaran nilai RM27,000.

Suspek kini ditahan selama empat hari bermula 13 hingga 16 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa kebenaran yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali.