TUMPAT - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas mercun dan bunga api bernilai RM1.22 juta selepas menyerbu sebuah premis dipercayai menjadi stor transit di Kampung Bunohan di sini pada Jumaat.
Dalam penugasan Op Taring Charlie pada jam 6.45 petang, seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap premis menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai untuk pasaran Aidilfitri.
"Kami turut merampas sebuah lori bernilai RM180,000 dan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM1.4 juta termasuk kenderaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut Nik Ros Azhan, pihaknya komited dalam usaha membanteras aktiviti haram yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.