Acik teruskan beribadat di Mekkah guna kerusi roda

Iklan
Acik (kiri) mahu meneruskan amal ibadat di Masjidilharam meskipun berkerusi roda.

KEPALA BATAS – Jemaah Malaysia yang cedera selepas dipijak jemaah lain di Masjidilharam pada Rabu kini dilaporkan stabil dan telah keluar dari hospital di Makkah.

Mangsa, Muhammad Farhan Khadid, 34, yang lebih dikenali sebagai Acik, mengalami bengkak di beberapa anggota badan serta terseliuh di bahagian kaki.

Iklan
Iklan

Rakannya, Shamsul Azrin Man, 43, berkata walaupun Acik masih trauma akibat kejadian tersebut, dia tetap bersemangat untuk meneruskan ibadat di Masjidilharam sebelum pulang ke tanah air pada penghujung Mac.

"Pemeriksaan X-ray mendapati tiada sebarang patah dikesan, namun Acik mengalami bengkak di bahagian kepala dan badan serta terseliuh di kaki.

Iklan

"Buat masa ini, dia bergerak menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berdiri atau berjalan jauh. Saya akan menolaknya dari tempat penginapan ke masjid untuk menunaikan ibadat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Shamsul Azrin, jumlah jemaah yang melakukan umrah di Makkah sangat ramai pada bulan Ramadan, dan dia menganggap insiden yang berlaku sebagai satu ujian.

Iklan

Dia turut memaklumkan bahawa mereka telah selesai menunaikan semua rukun umrah serta melaksanakan badal umrah untuk ibu bapa masing-masing.

"Bagaimanapun, selepas kejadian itu, kami lebih berhati-hati ketika solat dan melakukan tawaf sunat di Masjidilharam," katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa dua sahabat dari Kepala Batas, Pulau Pinang, yang menunaikan umrah dengan berjalan kaki ke Makkah, berdepan situasi cemas apabila salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius selepas dipijak jemaah yang berebut mencium Hajar Aswad.

Shamsul Azrin berkata kejadian berlaku selepas solat Isyak ketika mereka sedang beribadah dan berdoa di depan Kaabah.

"Ketika kami hendak beredar dari kawasan Hajar Aswad, ribuan jemaah menyerbu untuk mencium batu suci itu dan mereka merempuh kami. Kami terpisah dan jatuh ke lantai.

"Acik kemudiannya pitam akibat dirempuh, namun Alhamdulillah, seorang jemaah Arab membantunya dan mengangkatnya dari lantai ketika dia sedang dipijak," katanya.

Shamsul Azrin turut berharap orang ramai di Malaysia mendoakan keselamatan mereka sepanjang berada di tanah suci dan perjalanan pulang ke tanah air pada 30 Mac nanti.