KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan penemuan mayat reput dalam sebuah kenderaan di parkir sebuah pusat beli-belah di ibu kota yang tular di media sosial sejak semalam berlaku pada Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan mengenai kes itu telah diterima pada 25 Januari lalu sekitar jam 5.07 petang.
"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Bagaimanapun, keputusan penuh bedah siasat masih menunggu laporan makmal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan telah dijalankan dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan kembali kes lama kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Kami menyeru orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial," katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman mengejutkan apabila menemui mayat yang sudah mereput di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.