SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM45,000 kepada golongan memerlukan sempena program Ramadan Madani YAPEIM di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Khamis.
YAPEIM dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bertujuan untuk menyantuni kumpulan sasar sebagai persiapan berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, program tersebut akan memberi manfaat kepada 7,700 pelajar terpilih dari institut pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah menengah, dan murid sekolah rendah.
"Sumbangan berupa bantuan tunai YAPEIM Didik berjumlah RM100 seorang diberikan kepada 300 pelajar IPT serta pelajar sekolah menengah dan rendah, dengan jumlah keseluruhan RM30,000.
"YAPEIM turut menaja pelaksanaan majlis berbuka puasa untuk 300 penerima manfaat dan 100 tetamu jemputan dengan kos berjumlah RM10,000 serta lain-lain kos seperti urusan teknikal dan pengangkutan sebanyak RM5,000.
"Seramai 2,600 golongan memerlukan dibahagikan mengikut kategori keluarga miskin atau miskin tegar, penerima manfaat Program Didik Madani pada tahun lalu yang turut bertugas sebagai urusetia dalam program Ramadan Madani YAPEIM kali ini, dan pelajar sekolah,” katanya pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah/Ketua Divisyen Sumber Daya Insani dan Perkhidmatan YAPEIM, Nik Azlan Nik Abdullah, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Zamri Radzi.
Pada tahun 2024, YAPEIM telah memperkenalkan bantuan pendidikan kepada pelajar IPT melalui Program Didik Madani yang menyasarkan pelajar daripada kalangan B40 dan asnaf dengan objektif utama membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pengajian.
Secara keseluruhan, sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara.
Agihan tersebut melibatkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi, keusahawanan, bantuan pendidikan, dan bantuan kemasyarakatan.