KUALA LUMPUR - Tidak sempat hendak mengagihkan bunga ganja seberat 40 kilogram (kg), dua suspek dipercayai 'transporter' dicekup polis di sebuah rumah sewa harian di Taman Cuepacs, Segambut, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, satu serbuan telah dilakukan oleh pihaknya pada jam 7.25 petang setelah membuat pemerhatian selama 10 minit di kawasan rumah tersebut.
Beliau berkata, semasa pemerhatian dilakukan, pasukan serbuan melihat sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna perak memasuki kawasan garaj hadapan rumah sewa harian itu.
"Setelah berhenti di hadapan rumah teres dua tingkat itu, dua lelaki warga tempatan masuk ke dalam rumah dan memindahkan bungkusan berwarna hitam ke dalam kereta yang dinaiki.
"Pasukan serbuan memeriksa kedua-dua lelaki berusia 33 dan 43 tahun dan menemukan dadah methamphetamine seberat 1.6 gram serta 0.4 gram dadah jenis kanabis.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan Perodua Bezza itu dengan disaksikan oleh suspek, pihak polis menemukan bunga ganja," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Ahmad Sukarno berkata, pasukan serbuan menemukan dua bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi bunga ganja dengan anggaran berat 2.01 kilogram di atas kerusi penumpang bahagian belakang sebelah kiri kereta tersebut.
Tambahnya, dalam pemeriksaan itu juga, pasukan serbuan menemukan 38 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi bunga ganja dengan anggaran berat 40.37 kilogram di dalam bonet kereta.
Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan lanjut di dalam rumah sewa harian itu tidak menemukan apa-apa barang salah.
Katanya, nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM483,722, dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza yang dianggarkan bernilai RM23,000.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan menerima upah antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap penghantaran dadah tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Katanya, seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan lima rekod jenayah lampau berkaitan kekerasan, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah lampau.