SEPANG – [DIKEMAS KINI] Penyanyi lagu 'Kelepuk Raya' kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas empat kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu.
Hakim, Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Semasa membaca keputusan itu, Hakim, Ahmad Fuad berkata, mahkamah mendapati Aliff Syukri selaku orang kena saman (OKS) merupakan pentadbir akaun Instagram 'aliffsyukriterlajaklaris'.
Menurutnya, peniaga jeruk berusia 38 tahun itu juga mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan empat klip muzik berkenaan malah terdapat juga kapsyen yang menunjukkan dia memberi komen kepada video 'Kelepuk Raya'.
"Perkara tidak sopan yang ditimbulkan, lelaki berpakaian wanita dan bersolek, malah mereka menari liuk lentok dengan lembut.
"Ingat, kita hidup dalam masyarakat Melayu, tentulah ia tidak sopan,” kata hakim ini.
Sedangkan makan di khalayak ramai sebelum waktu berbuka ketika Ramadan juga katanya, merupakan perbuatan yang tidak beradab.
Memandangkan pendakwaan berjaya dalam kes prima facie bagi setiap elemen pertuduhan, beliau memerintahkan OKS membela diri.
Kedua, memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dan pilihan ketiga, berdiam diri sahaja.
Sementara itu, peguam, Awang Armadajaya yang mewakili ahli perniagaan itu memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk mendapatkan pilihan cara untuk membela diri terbabit.
"Saya mohon masa untuk menasihati anak guam, sebelum membuat keputusan selain memberi penerangan implikasi terhadap sebarang pilihan berkenaan.
"Kami juga memerlukan masa untuk menyediakan pembelaan,” katanya.
Mendengar keputusan itu, usahawan kosmetik berkenaan kelihatan tidak ceria dan beredar daripada mahkamah kerana mempunyai urusan lain.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Aliff Syukri memberitahu akan menyerahkan urusan selanjutnya kepada barisan peguamnya.
"Setelah hampir dua tahun turun naik mahkamah, saya menghormati keputusan itu," katanya.
Dalam pada itu, Awang berkata, mahkamah telah menetapkan perbicaraan bela diri berlangsung selama empat hari bermula 19 dan 22 Mei, 19 Jun serta 3 Julai.
"Bagi kes ini, mahkamah telah memberi tiga pilihan untuk anak guam membela diri, namun ia akan diputuskan pada prosiding akan datang,” katanya.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Aliff Syukri dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram 'aliffsyukriterlajaklaris'.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya di sini pada 24 April tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.
Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.
Video berdurasi lima minit 23 saat dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.
Bukan itu sahaja, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.