SHAH ALAM – Kerajaan dicadangkan memperkenalkan sistem pendaftaran kelahiran automatik secara digital bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan dengan tepat serta mengelakkan pemalsuan dokumen.
Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B (M) Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, langkah ini dapat memastikan setiap bayi yang lahir di hospital direkodkan secara terus ke dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan cap jari atau imbasan biometrik bayi dan ibu bapa.
"Dengan cara ini, kewujudan bayi tidak boleh direka-reka menggunakan dokumen palsu. Rasuah dalam pendaftaran kelahiran menjadi ancaman besar kepada sistem kewarganegaraan negara.
"Saya berpendapat antara kelemahan utama dalam sistem pendaftaran kelahiran ialah kurangnya pengesahan menyeluruh, sistem digital yang belum sepenuhnya berintegrasi, ketirisan dalam pemantauan dalaman serta penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten.
"Perkara ini amat membimbangkan kerana sindiket rasuah dalam pendaftaran kelahiran membawa impak jangka panjang yang serius terhadap kestabilan negara. Jika dibiarkan, ia boleh menggugat aspek keselamatan, ekonomi dan sosial,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM telah melancarkan Op Outlander dan Op Birth pada Selasa, membabitkan serbuan ke atas beberapa premis, termasuk klinik serta firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Dalam pada itu, Hakim Hafizi menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa dalam urusan rasmi seperti pendaftaran kelahiran boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
"Saya ingin menekankan bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. Pemberian kewarganegaraan secara tidak sah boleh membawa implikasi serius terhadap struktur sosial serta keselamatan negara kita.
"Jadi, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan seperti ini, termasuk mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran dan pencegahan kepada pihak lain,” ujarnya.
Tambahnya, reformasi sistem perlu dilakukan segera bagi memastikan masa depan negara lebih selamat dan stabil.