Pulau Pinang terima satu lagi laluan penerbangan terus dari China

Iklan
Pulau Pinang akan menerima satu lagi laluan penerbangan terus dari China. Gambar kecil: Wong Hon Wai

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal menerima satu lagi laluan penerbangan terus dari sebuah bandar utama di China, menjadikannya destinasi kelapan di negara itu yang mempunyai penerbangan terus ke negeri ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata usaha membawa masuk laluan penerbangan baharu itu dimulakan menerusi rundingan antara Penang Global Tourism (PGT) dengan syarikat penerbangan China semasa Forum Pembangunan Laluan Udara Asia 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas beberapa siri mesyuarat dalam talian, perbincangan mengenai laluan itu telah dimuktamadkan dengan penerbangan sulung dijangka bermula sempena cuti Minggu Emas Hari Buruh di China pada Mei ini.

"Ketika ini, laluan tersebut masih menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Iklan

"Sekiranya semuanya berjalan lancar, syarikat penerbangan terbabit akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, laluan baharu itu dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan dan perniagaan di Pulau Pinang selain memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab penerbangan serantau serta destinasi pelancongan antarabangsa.

Iklan

"Buat masa ini, Pulau Pinang mempunyai tujuh laluan penerbangan terus dari China, iaitu dari Guangzhou, Xiamen, Shanghai, Hong Kong, Shenzhen, Chongqing dan Xi’an.

"Jumlah ketibaan pelancong China ke negeri ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak awal tahun ini," ujarnya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan statistik pada Februari lalu, seramai 33,151 pelancong China tiba di Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa, meningkat 118.03 peratus berbanding 15,205 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

"Sejak Januari 2025, China telah mengatasi Singapura sebagai pasaran pelancong antarabangsa kedua terbesar ke Pulau Pinang selepas Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Hon Wai berkata, Pulau Pinang juga bakal menerima satu lagi laluan penerbangan antarabangsa pada bulan depan menerusi Myanmar Airways International, yang akan melancarkan penerbangan terus dari Yangon ke negeri ini bermula 10 April.

Dalam perkembangan lain, Hon Wai berkata, Pulau Pinang turut berdepan penyusunan semula laluan penerbangan antarabangsa apabila syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mengumumkan penamatan lapan laluan penerbangannya, termasuk satu laluan dari negeri ini.

"Penerbangan terus AirAsia dari Pulau Pinang ke Hong Kong akan dihentikan bermula 12 April depan. Bagaimanapun, keputusan itu dibuat atas faktor persaingan dalam laluan berkenaan yang semakin sengit sejak awal tahun ini.

"Sejak Januari lalu, jumlah penerbangan terus antara Hong Kong dan Pulau Pinang telah meningkat kepada 22 kali seminggu susulan penyertaan Hong Kong Express dalam laluan ini.

"Memandangkan jumlah penerbangan terus ke Hong Kong kini lebih tinggi berbanding tahun lalu, AirAsia mungkin mengambil langkah menyusun semula laluan mereka bagi memberi tumpuan kepada pasaran baharu,” katanya.