Lelaki cabul 3 pengunjung wanita di bazar Ramadan ditahan

Iklan
Tangkap layar menerusi klip video yang tular memaparkan aksi lelaki terbabit dilihat sengaja melanggar pengunjung wanita di bazar tersebut. Gambar kecil: Suspek berusia 41 tahun berjaya ditahan pada Rabu

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur memberikan alasan sudah lama tidak melakukan hubungan intim kerana menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu untuk mencabul beberapa pengunjung wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini.

Video aksi lelaki itu tular di platform TikTok pada Selasa yang didakwa dengan sengaja melanggar pengunjung wanita di bazar tersebut sebelum mencabul mereka.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, tiga wanita tampil membuat laporan polis sebelum lelaki berusia 41 tahun itu berjaya ditahan di bazar tersebut pada Rabu.



"Mangsa pertama berusia 26 tahun melaporkan telah dicabul oleh suspek pada 6 Mac manakala mangsa kedua berusia dan ketiga, masing-masing berusia 23 dan 27 tahun pula pada Isnin lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, kesemua mangsa mendakwa dicabul semasa membeli juadah berbuka apabila suspek secara kasar telah melanggar badan dengan sengaja seterusnya menyentuh dada dan punggung mereka menggunakan tangan.

Jelas Mazlan, saksi awam iaitu pemilik akaun TikTok bernama @zackrazbundle telah merakam perlakuan suspek dan memuat naik ke media sosial TikTok.

"Suspek mengakui terlibat dalam kes yang disiasat iaitu dengan sengaja melanggar badan serta menyentuh bahagian badan mangsa," tambah beliau.

Katanya, suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan ditahan reman pada Khamis.

Iklan
Iklan