Jonah 'panas badan' di Queensland

Iklan
Jonah akan menyertai Kejohanan Trek dan Padang di Australia bermula Rabu hingga hujung minggu ini. Foto Facebook KOM

JAGUH lontar peluru, Jonah Chang Rigan teruja untuk memulakan musim ini dengan saingan pada Kejohanan Trek dan Padang Queensland, Australia bermula Rabu hingga hujung minggu ini.

Beliau menyifatkan kejohanan tersebut sebagai pentas pemanas badan sebelum menyertai kejohanan yang lebih besar pada tahun ini termasuk Sukan SEA Thailand pada Disember.

Iklan
Iklan

"Kejohanan pertama dan ia sebagai medan untuk panas badan sebelum menyertai beberapa lagi pertandingan pada musim ini," katanya.

Selain Sukan SEA, atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan bermula 27 hingga 31 Mei dan Sukan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Ruhr, Jerman (16 hingga 27 Julai).

Iklan

Temasya dwitahunan Asia Tenggara pula dijadual berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkla bermula 9 hingga 20 Disember.

Jonah menjelaskan bahawa sudah bersedia sepenuhnya daripada aspek fizikal serta mental, selain berasa cergas tanpa sebarang kecederaan.

Iklan

Malah beliau turut menetapkan sasaran kejohanan di Queensland untuk membuat catatan lebih 17.50m bagi menilai tahap prestasi sebenarnya sebelum pergi lebih jauh pada tahun ini.

"Saya juga mahu fokus kepada catatan dan prestasi sendiri berbanding pesaing lain pada kejohanan tersebut. Saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Jonah sudah mengesahkan tiket ke Sukan SEA selepas memenangi pingat emas dan memecahkan rekod Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menerusi catatan 17.66m.

Sebagai rekod, atlet berusia 22 tahun itu merupakan pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru menerusi catatan 18.46m yang dilakukan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Padang pada Mei 2024.