BESUT - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum digilis sebuah lori tunda dalam kemalangan di Kampung Air Terjun, di sini, kira-kira jam 5 petang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa lelaki berusia 77 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam perjalanan dari Kampung Padang Luas ke Kampung Air Terjun, sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di tengah jalan.
"Pada masa sama, sebuah lori tunda yang dipandu lelaki berusia 36 tahun datang dari arah belakang dan tidak sempat mengelak, menyebabkan tayar belakang lori itu melanggar kepala mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut,” katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Polis meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Shafiqqul Aliff Mohamad Sobri di talian 011-10929400.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.