Lepas ternak tilapia, Mat Sabu tanam bawang pula di kediaman menteri

Iklan
Mohamad Sabu berkongsi aktiviti baharunya dengan tanam bawang di media sosial pada Rabu.

SHAH ALAM - Selepas kejayaan menternak ikan tilapia tahun lalu, kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkesempatan menyemai kira-kira 1,000 benih bawang Rose Ehsan di kediaman rasminya di Putrajaya.

Ahli Parlimen Kota Raja yang lebih mesra dipanggil Bang Mat atau Mat Sabu, berkata, inisiatif itu turut dilakukan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil.

Iklan
Iklan

"Usaha ini selaras dengan komitmen bersama dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

"Kaedah yang Bang Mat gunakan ialah 'Raised Garden Box' dengan keluasan 20' x 20', supaya tanaman lebih teratur dan mudah untuk diuruskan," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan projek tanaman bawang Rose Ehsan yang diusahakan PKPS di Selangor Fruit Valley berjaya mengeluarkan sebanyak 28 tan bawang merah kecil bagi fasa pertama tuaian membabitkan tanah seluas 3.2 hektar.

Menurut Dr Mohamad Khairil, projek itu membabitkan keseluruhan tanah seluas 10 hektar yang dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu 3.2 hektar bagi fasa pertama serta masing-masing 3.6 hektar untuk fasa kedua dan ketiga.

Iklan

Mohamad berkata, sebelum ini beliau telah berkunjung ke Selangor Fruit Valley untuk melihat penanaman bawang berkenaan di kawasan seluas 10 hektar.

"Insya-ALLAH, semoga usaha ini membuahkan hasil yang bermanfaat," katanya.