Perbicaraan tanah adat: Orang Asli mahu hakim lawat penempatan

Iklan
Rajesh (kanan) dan Sachpreetraj (dua dari kanan) bertemu dengan Orang Asli di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

KOTA BHARU - Orang Asli Kampung Kelaik, Gua Musang memohon hakim melawat penempatan mereka bagi melihat sendiri kehidupan suku kaum Temiar di kawasan itu.

Permohonan tersebut dikemukakan secara lisan di hadapan Hakim Hasbullah Adam semasa perbicaraan hari ketiga saman tuntutan tanah adat di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Hasbullah menolak permohonan lawatan tersebut sebelum pemeriksaan balas dilakukan dan mengarahkan pihak plaintif mengemukakan notis permohonan secara rasmi.

"Berkaitan dengan permohonan lawatan sebelum pemeriksaan balas adalah ditolak.

Iklan

"Tiada keperluan sebelum permohonan formal dikemukakan dan keputusan lain berkait lawatan ini akan ditetapkan semula kemudian,” katanya.

Plaintif dalam kes itu terdiri daripada Tok Batin, Ahak Uda, 58, bersama dua penduduk iaitu Aziz Angah, 37, dan Anjang Uda, 34, yang bertindak sebagai plaintif kedua serta ketiga, mewakili keseluruhan Orang Asli Kampung Kelaik.

Iklan

Mereka diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh dan Ambbi Balakrishnan yang memaklumkan bahawa permohonan rasmi akan dibuat dalam tempoh minggu ini bagi memohon hakim, pihak mahkamah serta defendan-defendan melawat Kampung Kelaik.

Dalam saman tersebut, plaintif menamakan 14 defendan iaitu Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering dan Construction Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Kerajaan Negeri Kelantan.

Saman yang difailkan pada 2021 itu bertujuan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemilik sah tanah adat mereka serta bagi menghalang sebarang pencerobohan di kawasan tersebut.

Sebelum ini, pencerobohan yang didakwa berlaku di tanah adat Kampung Kelaik, Gua Musang itu turut menyukarkan Orang Asli suku kaum Temiar mengamalkan kepercayaan nomad iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan tanah adat apabila berlaku kematian kalangan mereka.

Setakat ini, enam saksi termasuk ketiga-tiga plaintif sudah dipanggil dalam perbicaraan kes itu.

Perbicaraan disambung semula pada 15, 16 Jun, 26, 27 Ogos serta 27 dan 29 Oktober ini.