Kerjasama strategik IIM, Rasuah Busters, Sinar Harian banteras jenayah rasuah

Iklan
Mustafar (dua dari kanan) mengadakan perbincangan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kanan) ketika mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Institut Integriti Malaysia (IIM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Rasuah Busters dan akhbar Sinar Harian dalam usaha memerangi jenayah rasuah secara menyeluruh serta berterusan setelah mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Ahli Lembaga Pengarah IIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kunjungan kali ini adalah untuk berbincang, bertukar fikiran dan paling penting melaksanakan setiap agenda yang cuba, sedang serta akan diusahakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara paling penting mengenai agenda membanteras dan membasmi rasuah sudah tentu merupakan satu kolektif kesatuan yang bersepadu secara holistik.

Hussamuddin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mustafar selepas tamat perbincangan kedua-dua belah pihak.

"Pada kita kesempatan berjumpa dengan Rasuah Busters tentunya untuk bincang secara terbuka melaksanakan apa juga inisiatif yang ada. Lebih penting pelan tindakan itu bersifat jangka masa panjang.

Iklan

"Betul ada jangka masa pendek dan sederhana tapi paling penting usaha masa panjang. Nak dilaksanakan kena ada satu kesempatan untuk kita bermula dengan pertemuan perancangan dan seterusnya mengambil tindakan.

"Dalam masa sama, objektif khusus dalam pertemuan hari ini mengenai persidangan peringkat antarabangsa melibatkan institusi penting dalam negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang akan diadakan pada 29 April 2025," ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah Mustafar, akhbar Sinar Harian akan jadi rakan media untuk membuat liputan mengenai persidangan tersebut.

Jelasnya, persetujuan kerjasama daripada Sinar Harian itu sangat dihargai dan sudah tentu menunjukkan satu tindakan sefahaman serta keterbukaan kedua-dua pihak.

"Sinar Harian setuju bersama jadi rakan media dan saya ucap terima kasih. Kita tidak pernah putus harapan dalam membasmi rasuah namun perlu bermula dengan niat yang baik, kejujuran dan kepercayaan dan akhirnya pelaksanaan.

"Dalam masa sama perlu ada elemen pengawasan dan pemantauan. Kita harap program 'Southeast Asia Anti-Corruption Conference: Recalling Jakarta Statement' akan berjalan dengan baik," ujarnya.

Beliau turut mengharapkan persidangan tersebut bukan kerjasama terakhir antara kedua-dua pihak.

"Pasti bukan kali terakhir, program perlu jangka masa panjang dan kesepakatan daripada pelbagai pihak seperti NGO dan sebagainya. Mesti dan perlu dilaksanakan banyak lagi program mengenai banteras rasuah," katanya.