BATU PAHAT – Seorang lelaki tempatan yang disyaki mengedar dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Jaya, di sini, pada 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat sekitar jam 11.30 malam itu berjaya menahan suspek yang berusia 57 tahun.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine. Semakan rekod jenayah pula menunjukkan dia mempunyai 12 rekod berkaitan kes dadah dan jenayah.
"Turut dirampas sejumlah dadah jenis ekstasi seberat 1,332.50 gram dengan nilai anggaran RM222,530 dan 1,850 biji pil eramin 5 seberat 600 gram bernilai RM60,000.
"Secara keseluruhan, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM282,530 dan mampu digunakan oleh kira-kira 5,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM30,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk sitaan dalam serbuan itu mencecah RM312,530.
Tambahnya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara bersendirian dengan membeli bahan terlarang itu dalam kuantiti besar sebelum mengedarkannya dalam jumlah kecil ke pasaran tempatan.
"Kegiatan ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dan suspen kini direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Mac untuk siasatan lanjut," ujarnya.