PUTRAJAYA - Penggunaan e-hailing dalam masyarakat untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain bukanlah suatu perkara baharu.
Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial berkongsi tentang sebuah kereta yang menawarkan perkhidmatan e-hailing di Pulau Labuan dengan konsep yang unik.
Zaidi Zafuan menerusi akaun TikToknya berkata, kenderaan itu dihiasi dengan bunga-bungaan dan patung mainan yang comel sebagai dekorasi di bahagian dalam.
Tidak ketinggalan, bahagian dalam bumbung juga dihiasi dengan bunga-bungaan.
"Rasa macam naik kereta pengantin. Meriah betul," katanya.
Hantaran yang dimuat naik oleh Zaidi enam hari lalu itu kemudiannya tular di media sosial dan mendapat perhatian 1.5 juta pelayar platform berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memuji inisiatif pemilik kenderaan tersebut.
"Masuk dalam kereta, ada taman."
"Perasaannya seperti terbang dalam kawasan taman bunga, burung berkicauan, tenang," kata seorang pengguna media sosial.