SHAH ALAM - Penganjuran Iftar Ala Madinah @Karangkraf bukan sahaja menjadi acara tahunan dinanti-nanti bagi mereka yang ingin berbuka dalam suasana berbeza, namun dalam masa sama membantu meringan beban golongan kurang berkemampuan atau B40.
Ini kerana, program yang berlangsung sejak sekian lama itu menawarkan juadah berbuka secara percuma, sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarga.
Kakitangan swasta, Sarina Mohd Som, 47, berkata, beliau memang tidak pernah melepaskan peluang untuk datang berbuka puasa bersama keluarga dan rakannya di Iftar Ala Madinah @Karangkraf setiap tahun.
Menurutnya, program seumpama itu, banyak membantu menjimatkan perbelanjaan dapur golongan kurang berkemampuan dan B40 terutama ibu bapa yang mempunyai anak ramai.
"Iftar Ala Madinah @Karangkraf juga memberi peluang kepada umat Islam yang kurang berkemampun untuk berbuka puasa dengan pelbagai hidangan juadah berbuka yang sedap secara percuma dan tidak mampu dibeli sendiri di luar sana.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini, terbuka kepada 1,500 tetamu pada setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Orang ramai perlu mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari dengan mengimbas kod QR di laman web Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.
Mereka yang ingin menyumbang untuk menambah baik kemudahan, membeli kelengkapan berbuka atau menginfakkan makanan boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).
Tambah Sarina, selain menjimat duit belanja dapur, Iftar Ala Madinah @Karangkraf juga dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan tali silaturahim sesama Islam dan rakan-rakan.
"Biasanya setiap tahun saya akan datang berbuka puasa di Karangkraf beberapa kali. Namun, pada tahun ini saya baru datang sekali bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
"Selain, datang berbuka puasa saya juga mengambil kesempatan untuk bertemu dan bertanya khabar dengan bekas rakan sepejabat," katanya yang juga bekas kakitangan Kumpulan Karangkraf.
Seorang lagi, pengujung, Mohd Khairul Azlan Saari, 45, berkata, dia turut berterima kasih kepada Kumpulan Karangkraf kerana menyediakan pelbagai makanan dan tempat yang selesa untuk orang ramai berbuka puasa secara percuma termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Menurutnya, dia sudah dua kali datang berbuka puasa bersama ahli keluarganya namun kali ini turut disertai oleh ibu dan abangnya yang juga seorang OKU.
"Ini adalah kali kedua saya, isteri dan anak-anak datang berbuka puasa, namun kali ini lebih meriah dengan kehadiran ibu dan abang saya dari kampung di Kelantan.
"Kami memang suka berbuka puasa di sini bukan hanya kerana keadaannya seperti berbuka puasa di Madinah malah pihak penganjur turut menyediakan tempat untuk menunaikan solat berjemaah," katanya.
Sementara itu, pekerja swasta Lukman Nur Hakim, 23, berkata, dia dan rakannya memang kerap berbuka puasa di Iftar Ala Madinah @Karangkraf kerana makanan disediakan secara percuma dan menarik.
"Saya dan kawan sekerja memang suka berbuka puasa di sini kerana umpama kita berbuka puasa di Madinah dan makanan diberikan secara percuma pun pelbagai termasuk nasi kandar, nasi Arab, nasi kerabu, nasi ayam dan banyak lagi.
"Jadi tidak hairanlah jika untuk tahun ini sahaja saya sudah tiga kali datang berbuka puasa di Iftar Ala Madinah @Karangkraf bersama rakan sekerja," katanya.