DIEGO Simeone menegaskan bahawa peluang Atletico Madrid mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) masih terbuka meskipun tewas 1-2 kepada Real Madrid dalam pertembungan pertama pusingan 16 di Santiago Bernabeu pada minggu lalu.
Simeone percaya sokongan padu di Stadium Metropolitano yang berkapasiti lebih 70,000 penonton akan memberi dorongan besar kepada anak buahnya untuk bangkit dalam perlawanan timbal balik, awal pagi nanti (4 pagi waktu Malaysia).
"Kami masih hidup dalam pertandingan ini. Dengan semangat juang dan kepercayaan diri, kami boleh mencipta sejarah,” kata Simeone.
Atletico hampir mengikat Real pada perlawanan pertama, namun gol kemenangan Brahim Diaz pada minit ke-55 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.
Ini adalah pertembungan UCL pertama menentang Real di gelanggang baharu Atletico, selepas pertemuan separuh akhir 2017 menjadi perlawanan Eropah terakhir mereka di stadium lama, Vicente Calderon.
"Peluang masih terbuka dan saya percaya pemain boleh mengambil kesempatan di gelanggang sendiri,” ujar Simeone yang dijangka menggunakan strategi sama musim lalu ketika melayan kunjungan Inter Milan.
Dalam perlawanan itu, Atletico tewas di Itali tetapi menang dalam penentuan penalti di laman sendiri.
"Penyokong memberi kami semangat, tenaga serta membuatkan usaha keras menjadi lebih mudah dan kami amat memerlukan mereka.
"Kami masih berpeluang dan mungkin akan menikmati malam yang berbanding pihak lawan,” katanya.
Perlawanan timbal balik di Stadium Metropoltano dijangka berlangsung dengan penuh intensiti dan drama, di mana Atletico perlu mencari sekurang-kurangnya satu gol untuk menyamakan agregat sebelum boleh mengintai kemenangan.