Malaysia berjaya kerana formula kesederhanaan, tidak ekstrem

Iklan
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam kerana majoriti penduduknya beragama Islam, dengan kehidupan rakyatnya berlandaskan nilai serta norma masyarakat yang menekankan kesederhanaan dan toleransi. (Gambar kecil: Mohammad Shatar) Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pendekatan sederhana terutama dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan kaum telah berjaya membawa keharmonian dalam negara.

Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam kerana majoriti penduduknya beragama Islam, namun kehidupan rakyat berlandaskan nilai serta norma masyarakat yang menekankan kesederhanaan dan toleransi.

Iklan
Iklan

"Sejak mencapai kemerdekaan, masyarakat utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, dan India, telah berjaya hidup dalam keadaan harmoni.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan sederhana dalam kehidupan membawa kepada kestabilan dan kemajuan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, pendekatan kesederhanaan yang diamalkan di Malaysia telah terbukti mampu membangunkan negara ke tahap cemerlang tanpa perlu meniru budaya asing.

"Malaysia kaya dengan budaya dan nilai sendiri yang menjadi pemacu pembangunan negara.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa dalam usaha mencapai kecemerlangan, masyarakat harus mengekalkan identiti dan keunikan budaya sendiri. Keunikan ini menjadi tarikan utama pelancong asing ke Malaysia.

"Pelancong luar datang ke Malaysia kerana mereka mahu melihat budaya kita yang unik. Jika kita mengamalkan budaya asing, ia akan menghilangkan daya tarikan dan identiti kita sebagai bangsa Malaysia,” ujarnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, budaya kesederhanaan yang diamalkan masyarakat Malaysia turut mendapat perhatian pelancong, terutamanya pada bulan Ramadan apabila negara ini mempamerkan suasana berpuasa yang berbeza berbanding negara Islam lain.

"Ramai pelancong asing memberikan komen positif terhadap suasana Ramadan di Malaysia. Mereka mengakui pengalaman berpuasa di Malaysia lebih istimewa berbanding di negara Islam lain seperti UAE dan Arab Saudi.

"Ini menunjukkan keunikan budaya kita yang sepatutnya dipertahankan,” katanya.

Mohammad Shatar turut mengingatkan bahawa konsep kesederhanaan dalam Islam menolak sebarang bentuk ekstremisme, sama ada dalam bentuk positif atau negatif.

Beliau juga menekankan peranan media sosial dalam mengekalkan nilai kesederhanaan dalam masyarakat dan imej negara di peringkat global.

"Media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat. Oleh itu, netizen dan pempengaruh perlu menampilkan elemen kesederhanaan dalam kandungan mereka,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun terdapat segelintir individu yang cenderung kepada sikap ekstrem, ia tidak mencerminkan norma sebenar masyarakat Malaysia.

"Dalam setiap kelompok pasti ada individu yang berbeza. Tetapi kita tidak boleh mengambil kes terpencil sebagai gambaran keseluruhan masyarakat,” jelasnya.

Beliau berharap rakyat Malaysia terus memainkan peranan dalam mengekalkan budaya kesederhanaan supaya negara ini terus menjadi contoh kepada dunia.

"Malaysia boleh menjadi juara dalam mempromosikan nilai kesederhanaan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kita semua perlu berganding bahu untuk memastikan nilai ini terus kekal dan menjadi kebanggaan negara,” katanya.