Salah siapa bila anak memandu tanpa lesen

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan kemalangan yang membabitkan pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

KEMALANGAN tragis akibat kereta yang melanggar lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban Khamis lalu membuka kembali isu keselamatan jalan raya terutamanya dalam kalangan remaja yang memandu atau menunggang tanpa lesen.

Kejadian membabitkan tiga kenderaan itu menyebabkan tiga remaja maut. Lebih mendukacitakan, PDRM sahkan pemandu kereta berkenaan yang juga seorang remaja berusia 18 tahun itu tidak memiliki lesen memandu.

Iklan
Iklan

Kejadian itu menyerlahkan realiti ramai remaja yang tidak memiliki lesen memandu tetapi seperti diberi ‘lampu hijau’ oleh ibu bapa untuk menggunakan kenderaan. Jika begitu, perkara itu sama sekali tidak boleh dinormalisasikan.

Isu itu semakin membimbangkan apabila statistik melalui penguatkuasaan jalan raya terutama oleh bahagian trafik PDRM menunjukkan peningkatan jumlah remaja yang memandu tanpa lesen terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan muda.

Iklan

Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menjelaskan bahawa individu yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan.

Dalam kes berulang, denda boleh meningkat sehingga RM2,000 atau penjara lebih lama.

Iklan

Di samping penguatkuasaan undang-undang yang kerap dibuat pihak berkuasa, sudah tiba masanya ibu bapa bertindak segera dalam mendidik anak-anak tentang risiko memandu atau menunggang tanpa lesen serta mengawasi mereka agar tidak terlibat dalam situasi berbahaya.

Pendidikan awal mengenai risiko memandu tanpa lesen dan akibat yang bakal dihadapi boleh membantu mengelakkan tindakan berbahaya itu selain menggalakkan anak-anak untuk memperoleh lesen memandu dengan sah serta memberi penekanan kepada nilai tanggungjawab adalah langkah pencegahan yang efektif.

Harus diingatkan, ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika membenarkan anak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen memandu yang sah.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.