ISU membabitkan pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, 54, dan pempengaruh, Imran Bard, 24, dilihat sebagai satu contoh buli siber.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berharap isu antara Ellie dan Imran dapat diselesaikan dengan baik serta menjadi pengajaran kepada semua pihak.
"Tanpa disedari, kita boleh menjadi penyumbang kepada buli siber jika tidak berhati-hati dalam memberikan komen atau reaksi di media sosial.
"Pengguna media sosial perlu peka dan mengetahui had sebelum melakukan sesuatu. Janganlah sehingga perkara buruk berlaku baru kita mahu mengambil tindakan.
"Kita jangan lupa bahawa agama dan budaya kita menekankan kepentingan adab serta kesusilaan dalam berkomunikasi, termasuk ketika menghasilkan kandungan di alam maya dan platform media sosial. Jadikan isu ini sebagai pengajaran buat semua,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi juga kini giat menjalankan kempen mengenai bahaya serta kesan negatif buli siber terhadap masyarakat.
"Ellie ada menghubungi saya dan meluahkan rasa sedih serta terkilan mengenai pertikaiannya dengan pempengaruh berkenaan.
"Saya berharap mereka dapat berjumpa dan bersemuka bagi menyelesaikan isu ini dengan baik.
"Saya yakin, apabila perkara ini diselesaikan dengan baik, ia akan menjadi contoh yang baik kepada semua,” ujarnya.
Azmir menambah, isu ini tidak mempunyai kaitan dengan perundangan Finas tetapi melibatkan seorang artis yang dikenali ramai dan mempunyai banyak sumbangan serta pengiktirafan dalam industri, termasuk sebagai tenaga pengajar dan mentor.
"Sebagai contoh, semasa penggambaran filem Memoir Seorang Guru tahun lalu, Ellie bukan sahaja berlakon, malah turut membimbing pelakon kanak-kanak bagi memastikan mutu lakonan mereka terbaik,” katanya.
Terdahulu, Ellie Suriaty menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran Bard yang didakwanya telah mencemarkan namanya menerusi dua hantaran di TikTok yang berunsur fitnah.
Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar meluahkan rasa kecewa apabila tindakan Imran memperlekehkan reputasinya yang telah dibina selama lebih tiga dekad sebagai anak seni dan musnah begitu sahaja dengan kandungan yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut.
Terbaharu, Ellie bakal mengadakan pertemuan dengan Imran sebaik sahaja pempengaruh itu pulang ke Kuala Lumpur, memandangkan dia kini masih berada di kampung halamannya di Kluang, Johor.
"Saya setuju dengan permintaan Imran untuk berjumpa, namun dia masih berada di kampung. Insya-ALLAH, perjumpaan kami akan diadakan selepas dia kembali ke Kuala Lumpur,” tulisnya di Instagram.
Bagaimanapun, Ellie menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan jaminan bahawa dia akan menarik balik saman terhadap Imran.
Sebaliknya, pelakon filem Telaga Suriram itu menjelaskan bahawa keputusan itu bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf daripada pempengaruh berkenaan.