Lelaki maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis

Iklan
Seorang lelaki bersenjata maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Seberang Perai Tengah pada awal pagi Selasa. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Seorang lelaki bersenjata maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Seberang Perai Tengah pada awal pagi Selasa.

Dalam insiden kira-kira jam 2.20 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang yang sedang menjalankan rondaan terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZR dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian itu, polis telah menghampiri lelaki berkenaan sambil memperkenalkan diri serta mengarahkannya supaya berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, suspek enggan mematuhi arahan dan bertindak melarikan diri dengan memecut motosikalnya.

Iklan

"Pasukan polis segera mengejar suspek sebelum berjaya memintas motosikal itu. Namun, secara tiba-tiba, lelaki terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Untuk mempertahankan diri dan pasukan, polis terpaksa melepaskan tembakan balas lalu mengenai suspek menyebabkan suspek rebah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Hamzah menambah, suspek disahkan maut di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak lagi bergerak, manakala di sisinya ditemui sepucuk pistol jenis Glock serta sejumlah dadah yang dipercayai heroin.

"Pemeriksaan pada suspek juga tidak menjumpai sebarang dokumen identiti. Kita mengesyaki suspek adalah warga asing berusia lingkungan 30-an," katanya.

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.