Jaga adab berbicara di media sosial - Nooh Gadut

Iklan
Masyarakat diminta menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan mesej yang membina dan memberi manfaat kepada semua. Gambar kecil: Nooh Gadot

JOHOR BAHRU – Masyarakat diingatkan agar berhati-hati dalam setiap perkataan yang ditulis atau diucapkan di media sosial kerana setiap perkataan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Nooh Gadot berkata, dunia digital memberi kebebasan kepada orang ramai untuk menyampaikan pandangan, namun ia perlu disertai dengan adab dan tanggungjawab.

Iklan
Iklan

"ALLAH SWT berfirman dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud, ‘Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat),’” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Iklan

"Akhir-akhir ini kita melihat semakin banyak perbincangan melibatkan isu perkauman secara melampau. Islam menolak sebarang bentuk kebencian dan perpecahan atas dasar kaum atau keturunan," katanya.

Menurutnya, umat Islam digesa supaya menyebarkan kebaikan dan mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah di media sosial.

Iklan

"Rasulullah SAW bersabda, ‘Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia berkata yang baik atau diam’ (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)," katanya.

Beliau turut menasihatkan agar setiap berita yang diterima disemak terlebih dahulu sebelum disebarkan bagi mengelakkan kesan buruk kepada masyarakat.

"Firman ALLAH dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kejahilan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu,’" katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan mesej yang membina dan memberi manfaat kepada semua.