Pegawai keselamatan putih mata wang RM300,000 lesap

Iklan
Seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta berputih mata apabila wang simpanan dan pinjaman sebanyak RM303,750 hilang selepas diperdaya sindiket 'phone scam'. Foto hiasan

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta di sini berputih mata apabila wang simpanan dan pinjaman sebanyak RM303,750 hilang selepas diperdaya sindiket 'phone scam'

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah dihubungi oleh anggota sindiket yang menyamar sebagai anggota polis pada Disember tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Suspek mendakwa mangsa akan dikenakan tindakan kerana didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

"Akibat panik dan takut, mangsa telah membuat sebanyak 15 kali transaksi berjumlah RM303,750 ke sembilan akaun bank berbeza dalam tempoh 29 Disember 2024 hingga 24 Februari lalu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, selain wang simpanan mangsa turut membuat pinjaman peribadi dan meminjam wang rakan-rakan bagi mengelak berdepan hukuman.

Bagaimanapun beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman jam 12.57 tengah hari pada Ahad lalu.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jadi kita mengingatkan orang awam supaya membuat semakan dengan agensi berkaitan yang sah sekiranya terdapat panggilan mencurigakan.

"Selain itu, jangan sesekali memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali dan hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pindahan kepada orang ketiga," jelas beliau.